fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia rampas 157 set bubu naga

Foto Maritim Malaysia

KUALA PERLIS, 17 Januari-  Sebannyak 157 set bubu naga dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis di lima lokasi berbeza.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain dalam kenyataannya memaklumkan, bubu ini dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan bersama Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Kedah menerusi Op Aman, Op Tiris 3.0 dan Op Mardof di perairan Negeri Perlis melalui pelampung-pelampung bersaiz kecil yang mencurigakan di permukaan air sekitar perairan berkenaan.

"Rampasan dibuat di kedudukan 0.40 batu nautika daripada barat Kuala Perlis, 0.58 batu nautika daripada barat daya Kuala Perlis, 0.59 batu nautika daripada barat pesisir pantai Kuala Perlis, 0.45 batu nautika daripada barat pesisir pantai Kurung Tengar dan 0.61 batu nautika daripada barat pesisir pantai Kurung Tengar, Perlis pada sekitar pukul 3.00 petang semalam", katanya.

Beliau berkata hasil tinjauan mendapati, pelampung-pelampung kecil tersebut adalah penanda lokasi di mana bubu naga dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Taktik ini telah diubah bagi mengaburi mata penguatkuasa yang sebelum ini menggunakan pancang-pancang kayu sebagai penanda kedudukan bubu naga yang telah dipasang.

Kesemua bubu naga dan udang yang dianggarkan bernilai hampir RM19,000 itu dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis bagi siasatan dan tindakan lanjut.

Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.

ROSLINA BINTI DIN