
PASIR PUTEH, 10 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini memberi tumpuan kepada peningkatan tahap pematuhan undang-undang sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penguatkuasaannya di seluruh perairan negara.
- Maritim Malaysia menumpukan pada peningkatan pematuhan undang-undang sebagai KPI penguatkuasaan.
- Sasaran tangkapan ditetapkan tidak melebihi tiga peratus untuk menggalakkan kepatuhan nelayan.
- Hampir 250,000 pemeriksaan dilaksanakan; kurang daripada dua peratus membawa kepada tangkapan.
- Dua projek maritim di Kelantan dirancang: Pusat Tahanan Kapal di Semerak dan pejabat di Pulau Tengkorak.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, sasaran tangkapan bagi pelbagai kesalahan ditetapkan tidak melebihi tiga peratus, termasuk melalui pendekatan meningkatkan kefahaman nelayan terhadap peraturan yang perlu dipatuhi.
“Kita berjaya melaksanakan hampir 250,000 pemeriksaan tahun lepas dan tangkapan tidak sampai 2,000 kes.
“Ini bermakna jumlahnya kurang daripada dua peratus, sekali gus menunjukkan tahap pematuhan masyarakat terhadap undang-undang sangat tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Malaysia negeri Kelantan di Ibu Pejabat Maritim Kelantan, Tok Bali, di sini hari ini.
Menurut beliau, jumlah pemeriksaan dan tangkapan yang tinggi mencerminkan tahap pematuhan yang rendah, kemungkinan berpunca daripada kekurangan kefahaman atau wujud kelompongan dalam peruntukan sedia ada.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Rosli berkata dua projek pembangunan maritim di Kelantan dijangka dilaksanakan tahun depan, iaitu Pusat Tahanan Kapal (PTV) di Semerak, Pasir Puteh dan Pejabat Maritim di Pulau Tengkorak, Tumpat.
“Projek berkenaan telah dipersetujui di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dibawa dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rolling Plan Kedua Tahun 2027 bagi kelulusan lanjut,” katanya.
PTV di Pasir Puteh melibatkan keluasan kira-kira setengah ekar dengan anggaran kos tanah RM2 hingga RM3 juta, manakala Pejabat Maritim di Tumpat melibatkan tanah seluas kira-kira empat ekar dengan anggaran kos sekitar RM5 juta.