fb fb fb fb fb

Maritim lupus 10 kilogram syabu

Proses pelupusan dilaksanakan secara ketat dan terkawal selaras prosedur piawaian ditetapkan

MELAKA, 25 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan melupuskan sebanyak 10 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM67,400 hasil rampasan sepanjang tahun lalu.

Maritim Malaysia dalam kenyataan berkata, proses pelupusan dilaksanakan secara ketat dan terkawal selaras dengan prosedur piawaian ditetapkan.

“Semua sisa pelupusan dadah ini disalurkan kepada syarikat berdaftar dan diiktiraf bagi tujuan penanaman abu mengikut garis panduan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Maritim menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh penguatkuasaan di perairan negara bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah yang boleh mengancam keselamatan rakyat.

“Kami akan terus memperhebatkan operasi bagi memastikan perairan negara kekal bebas daripada aktiviti penyeludupan, termasuk dadah,” tambah kenyataan itu.

GRACE AISYAH KEDAYAN