KLANG, 1 April- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM) dijangka menerima baki dua Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) dalam tempoh kurang dua tahun dari sekarang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan anggaran tempoh masa tersebut mengambil kira perkembangan semasa pembinaan OPV 2 yang kini berada pada tahap 75 peratus siap manakala OPV 3, berada pada tahap lebih 50 peratus siap.
"Yang kedua itu, peratusan siap lebih 75 peratus. Begitu juga yang ketiga, pun melebihi 50 peratus. Walaupun jadual asal lari dan tidak dapat disiapkan, tetapi saya membentangkan keputusan jemaah menteri bahawa KDN mahu meneruskan menyiapkan projek OPV 2 dan 3."
"Untuk itu, anggaran peruntukan tambahan diperlukan RM200 juta yang juga telah dapat persetujuan dasar, cuma proses permohonan mesti menyusul selepas itu. daripada segi kertas dasar diterima untuk kdn memohon," kata Saifuddin kepada pemberita dalam sidang media selepas meninjau pelaksanaan Op Khas Pagar Laut di sekitar perairan Selangor.
Op Khas Pagar Laut tersebut dilaksana dengan menaiki Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV 1) iaitu Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah.
Datuk Seri Saifuddin turut memaklumkan MARITIM juga bakal menerima empat unit helikopter baharu melibatkan peruntukan sebanyak RM600 juta, dalam tempoh 18 bulan dari sekarang.
Sementara itu, MARITIM merekodkan 62 tangkapan menerusi pelaksanaan Op Khas Pagar Laut yang berkuatkuasa di seluruh negara, sejak 15 hari lalu.
Datuk Seri Saifuddin memaklumkan tangkapan tersebut melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM5 juta.
Jelasnya, ops yang dilaksana sepanjang Ramadan dan Syawal di seluruh perairan negara itu, bertujuan mengekang salah laku di perairan negara yang akan melibatkan kerugian sehingga jutaan ringgit.
"Ada empat fasa. Fasa pengumpulan maklumat pintar, penyusunan strategi itu sudah selesai. Fasa kedua ialah fasa pra perayaan, sekarang di fasa ini. Kemudian, diikuti nanti fasa ketiga sepanjang masa perayaan dan fasa keempat selepas perayaan."
"Jenis kesalahan itu penyeludupan. Boleh jadi menyeludup barang keperluan dalam negara diseludup keluar, umpamanya minyak masak atau kontraban, membawa masuk rokok tanpa cukai masuk ke pasaran tempatan atau kegiatan nelayan haram yang mengakibatkan kehilangan hasil," tambah Saifuddin.
Tegasnya, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap individu yang mensasarkan musim perayaan untuk melakukan aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang di laut.