fb fb fb fb fb

MARDI hasilkan tiga varieti bawang merah

Foto Hiasan/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 28 November- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menghasilkan tiga varieti bawang merah melalui usaha inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan sejak 2020.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata tiga varieti bawang merah itu iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 telah dilancarkan bersempena Show Tech MARDI 2023 pada Ogos lepas.

Jelasnya tiga varieti bawang merah itu sesuai ditanam di tanah rendah dengan tanah yang berbeza iaitu mineral, BRIS dan gambut.

“Kualiti bawang merah yang diperoleh adalah sama seperti bawang import di pasaran iaitu bersaiz 25 hingga 35cm, berwarna merah terang dan menarik, segar dan tahan kepada serangan serangga dan penyakit, serta mampu mengeluarkan hasil sekitar empat hingga enam tan/hektar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya MARDI mengambil keputusan meningkatkan aktiviti penyelidikan bagi membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada import bawang ekoran krisis bekalan bawang import akibat bencana banjir di India pada 2020 yang mengakibatkan harga jualan bawang meningkat sehingga tiga kali ganda dari RM3/kg kepada RM16/kg.

Mohamad Zabawi berkata MARDI kini sedang giat mengkomersialkan pengeluaran benih dan bahan tanaman utama bawang merah dalam usaha meluaskan tanaman di dalam negara agar teknologi itu mampu berdaya saing demi memastikan kedaulatan makanan terjamin serta meningkatkan ekonomi negara.

Beliau berkata pengkomersialan pengeluaran bawang merah MARDI akan bermula awal tahun hadapan dengan tumpuan kepada pengeluaran benih dan peluasan kawasan di plot-plot usahawan tani.

“MARDI kini dalam fasa permulaan dengan menghasilkan benih-benih bawang dari bebawang yang ditanam di sebidang tanah berkeluasan satu hektar di Ibu pejabat MARDI untuk kami edarkan kepada petani-petani yang kami telah kenal pasti untuk mereka mulakan penanaman bawang,” katanya.

Tambah Mohamad Zabawi pada tahun depan, MARDI dengan bantuan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut bercadang untuk mengembangkan plot-plot tanaman bawang sehingga 20 hektar kepada usahawan tani yang berminat di seluruh Malaysia.

“MARDI berhasrat untuk tingkatkan kepada 40 hektar pada 2025 dan seterusnya meningkat kepada 100 hektar menjelang 2030.

“Mengikut perkiraan kami, sekiranya setiap hektar tanah dapat menghasilkan bebawang kering sebanyak lapan tan, 40 hektar boleh dapatkan 320 tan bawang, kami jangka negara mampu mengurangkan kebergantungan import dari negara luar dalam masa lima tahun,” katanya.

Mohamad Zabawi berkata MARDI juga bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) untuk mewujudkan pusat pengeluaran benih bawang di Perak.

ZEHRA BINTI ZAMBRI