
KANGAR, 6 Februari – Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Perlis menerima peruntukan berjumlah RM17,322,905 bagi pelaksanaan Program Pembangunan MARA Negeri Perlis tahun 2026, bertujuan memperkasa ekosistem keusahawanan Bumiputera di negeri itu.
- Peruntukan RM17.322 juta disediakan untuk Program Pembangunan MARA Negeri Perlis 2026.
- Fokus memperkasa usahawan Bumiputera melalui inisiatif digital, teknikal dan runcit.
- Program utama termasuk BizStart, latihan pendigitalan dan pembangunan vendor sektor elektrik elektronik.
- Matlamat memastikan usahawan berdaya saing, mampan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman berkata, Program Pembangunan MARA Negeri Perlis memberi penekanan kepada pengukuhan keupayaan usahawan Bumiputera menerusi pelbagai inisiatif strategik merangkumi bidang digital, teknikal dan runcit, selaras dengan keperluan pasaran semasa.
“Antara program utama yang dilaksanakan termasuk Program BizStart, latihan pendigitalan perniagaan serta pembangunan vendor industri, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif berkenaan diharap dapat memastikan usahawan Bumiputera di Perlis terus berdaya saing, mampan dan berupaya berkembang.
“Usaha ini sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dalam menghadapi landskap ekonomi yang semakin mencabar,” katanya.
Peruntukan tersebut diserahkan secara simbolik oleh Datuk Zulfikri kepada Pengarah MARA Negeri Perlis, Mohd Azam Jamaluddin, dalam satu Majlis Santapan Malam di Arked MARA Kangar.
Majlis berkenaan disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda puteri kedua Baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.