KOTA BHARU, 21 Mei- Majlis Perumahan Universiti-Universiti Awam (MAPUM) berusaha membantu menyelesaikan setiap aduan diterima daripada mahasiswa yang tinggal di asrama.
Pengerusinya, Prof. Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, antara aduan yang diterima membabitkan naik taraf kemudahan internet, penggunaan peralatan elektronik dan waktu keluar masuk asrama.
Bagaimanapun, katanya setiap aduan yang diterima tidak akan diselesaikan dengan cara yang sama kerana MAPUM perlu melihat keadaan universiti dan mahasiswa terbabit.
Menurutnya, tidak semua kemudahan berkenaan diperlukan di universiti, namun Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berusaha memastikan fasiliti yang disediakan dapat memberi keselesaan kepada mahasiswa.
"Aduan itu bersifat subjektif, tetapi pihak universiti sentiasa melihat perkara itu dari aspek yang perlu dititikberatkan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelajar," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Asrama Peringkat Kebangsaan (SPARK) 2024, Kota Bharu, pada Isnin.
Majlis dirasmikan oleh Pengarah Hal Ehwal Pelajar KPT, Hirman Awang dan turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Mohammad Ismail.
Sementara itu, Hirman berkata, KPT sentiasa menyokong sebarang usaha yang dilakukan dalam memperkasakan pengurusan asrama atau kolej kediaman.
Katanya, penganjuran SPARK juga antara salah satu usaha untuk menangani masalah mahasiswa di asrama kerana ia melibatkan pengetua asrama, felo dan juga mahasiswa itu sendiri.
Jelas beliau, sehingga 31 Disember 2023, purata keseluruhan yang tinggal di kolej kediaman ialah 57 peratus membabitkan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda di seluruh negara.