PUTRAJAYA, 14 Februari – Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesahkan identiti 15 rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, kesemua 261 individu yang berjaya diselamatkan, termasuk 15 rakyat Malaysia, kini ditempatkan di kem tentera Fort Vachiraprakan di Thailand.
Mereka akan menjalani saringan di bawah Mekanisme Rujukan Kebangsaan (NRM) sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.
"Sebaik sahaja kelulusan diperoleh daripada pihak berkuasa Thailand, Kedutaan Besar Malaysia akan menjalankan lawatan konsular bagi memberikan bantuan yang sewajarnya kepada mangsa. Ini termasuk menghubungi waris mereka serta menguruskan proses pemulangan ke Malaysia," menurut kenyataan itu.
Kementerian Luar Negeri menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand dalam menangani isu ini serta memastikan rakyat Malaysia yang terjejas menerima bantuan konsular yang diperlukan.