Mangsa kebakaran terima bantuan pakaian sekolah baharu

FOTO RTM

KANGAR, 28 Mac – Kebakaran yang berlaku di Taman Kemajuan pada 25 Mac lalu bukan sahaja mengakibatkan kerugian harta benda, malah menjejaskan kelengkapan persekolahan anak-anak daripada lima keluarga terlibat.

RINGKASAN BERITA AI
  • UMNO Bahagian Kangar membawa enam pelajar beserta keluarga membeli pakaian sekolah baharu untuk persiapan semula ke sekolah.
  • Setiap pelajar menerima satu set pakaian sekolah baharu sebagai bantuan meringankan beban dan menceriakan murid selepas insiden.
  • Selain pakaian, setiap keluarga menerima set kelengkapan tidur serta kain pelekat dan batik untuk kegunaan harian.

Prihatin dengan nasib murid yang akan kembali ke sekolah Isnin ini, UMNO Bahagian Kangar membawa enam pelajar bersama keluarga mereka membeli pakaian sekolah baharu di sebuah kedai pakaian di sini.

Penyelaras program, Kamarudin Malek berkata, setiap pelajar menerima satu set pakaian sekolah baharu sebagai persiapan awal selepas insiden kebakaran tersebut.

Menurut beliau, inisiatif itu bertujuan menceriakan murid yang terjejas ketika sambutan Syawal di samping meringankan beban keluarga yang berdepan kesukaran.

“Usaha ini diharap dapat membantu mereka membuat persiapan ke sekolah dengan lebih baik selepas melalui detik sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama Jawatankuasa UMNO Bahagian Kangar serta keluarga pelajar terlibat.

Selain sumbangan pakaian sekolah, setiap keluarga yang terjejas turut menerima set kelengkapan tidur serta kain pelekat dan batik untuk kegunaan harian.