Mangsa kebakaran KOA Teluk Jawa bakal huni lokasi baru

FOTO RTM

JOHOR BAHRU, 15 Februari – Kesemua 40 keluarga dari Kampung Orang Asli (KOA) Teluk Jawa, Masai yang terjejas dengan insiden kebakaran kediaman, pada 12 Februari lalu, bakal dipindahkan ke lokasi baru, di tanah rizab Orang Asli Kuala Masai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemindahan 40 keluarga KOA Teluk Jawa ke tanah rizab Orang Asli Kuala Masai disetujui penduduk.
  • Semua penduduk, termasuk yang tidak terbakar, akan dipindahkan kerana kediaman dibina di tanah syarikat.
  • Lokasi baru membolehkan pembangunan KOA lebih teratur dan memudahkan pengurusan kesihatan.
  • Kerajaan negeri akan menyediakan 40 unit rumah sebagai bantuan kepada keluarga terjejas.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor, Faisal Long berkata, cadangan pemindahan itu telah dipersetujui penduduk orang asli terlibat.

Pemindahan ke lokasi itu turut melibatkan penduduk yang tidak terkesan dengan kebakaran kerana kediaman mereka didirikan di tanah milik sebuah syarikat.

Pendekatan itu membolehkan JAKOA menjalankan pembangunan KOA dengan baik di tanah rizab, serta memudahkan pengurusan kesihatan.

Katanya, kerajaan negeri akan menyediakan 40 unit rumah kepada penduduk terjejas terlibat.

“Saya yakin kerajaan negeri telah memberikan bantuan yang amat signifikan. Bantuan khusus disalurkan kepada mereka yang terjejas, melibatkan kira-kira 40 keluarga yang menjadi mangsa kejadian tersebut.

“Alhamdulillah, sokongan ini diharap dapat menyuntik semangat kepada masyarakat orang asli untuk meneruskan kehidupan serta membina semula perkampungan baru dengan lebih teratur dan selamat,” katanya di sini.