fb fb fb fb fb

Mangsa gangguan seksual perlu berani buat laporan

Menteri KPWKM Datuk Seri  Nancy Shukri bersama Timbalan Pengarah INTAN, Rusli Harun dan Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff.

SUNGAI PETANI, 3 Oktober - Individu yang menjadi mangsa gangguan seksual perlu berani tampil membuat laporan menerusi platform undang-undang yang disediakan oleh kerajaan agar tindakan boleh diambil ke atas pelaku.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata lazimnya kebanyakan mangsa enggan melaporkan kejadian terbabit menyebabkan tindakan undang-undang sukar dijalankan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menerima laporan sebanyak 442 kes gangguan seksual sehingga Ogos tahun ini.

Namun jumlah ini mungkin lebih besar kerana tidak ramai tampil membuat laporan.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes gangguan seksual yang dilaporkan pada tahun 2022 adalah sebanyak 422 kes, meningkat kepada 460 kes pada 2023.

"Bagi mereka yang terancam, telah melalui ataupun pengalaman mengalaminya dia harus menggunakan apa yang kita sediakan melalui undang-undang kalau dia tak mau ke polis ambik tindakan jenayah tapi boleh ke sivil melalui tribunal anti gangguan seksual," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian penutup Program Bitara INTAN: Seminar Antigangguan Seksual di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Utara di sini.

Lebih 700 penjawat awam dari Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis hadir menjayakan program seminat berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai gangguan seksual dalam kalangan penjawat awam.
 
Menerusi program itu penjawat awam diberikan penerangan lebih jelas berkaitan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) dan TAGS yang merupakan saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum 
 
Hadir sama, Timbalan Pengarah INTAN, Rusli Harun dan Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff.

Trainee2