fb fb fb fb fb

Mangsa banjir di Johor berkurang kepada 26,381 pagi ini

(FOTO BERNAMA)

JOHOR BAHRU, 17 Mac - Jumlah mangsa banjir di Johor berkurang kepada 26,381 orang pada 8 pagi ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Jumlah itu berkurangan berbanding 28,008 orang direkodkan malam tadi.

Menurut JPBN, kesemua mangsa daripada 7,418 keluarga ditempatkan di 95 pusat pemindahan sementara (PPS) di Batu Pahat dan Segamat.

Sementara itu, Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa 26,337 orang daripada 7,404 keluarga.

Manakala Segamat seramai 44 orang daripada 14 keluarga.

Menurut JPBN, sebanyak lima jalan di Batu Pahat masih ditutup untuk kenderaan ringan kerana ditenggelami banjir.

Katanya, hanya kenderaan berat dibenarkan untuk melalui jalan-jalan tersebut.

Penutupan itu melibatkan Jalan Parit Haji Arif/Sri Dayung berhampiran Jambatan Sri Dayung; Jalan Parit Jambi (Jambatan Parit Jambi); Jalan Haji Arif (Klinik Kesihatan Sri Medan); Jalan Parit Warijo (sepanjang jalan) dan Jalan Sri Bengkal (Kampung Sri Bengkal).-

Dalam pada itu, cuaca diramal cerah di kesemua 10 daerah pada pagi ini selain tiada sungai yang berada di paras bahaya.


(FOTO BERNAMA)

Media Baharu