‘Mandat rakyat satu amanah, bukan untuk berbangga’ – PM

Foto Facebook Anwar Ibrahim

AMPANG, 7 Februari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kepimpinan dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar terus bekerja keras dan mengutamakan keperluan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mandat dianggap amanah untuk berkhidmat, bukan untuk berbangga dengan kerusi atau gelaran.
  • Keutamaan diberikan kepada pelaksanaan tanggungjawab dan memberi tumpuan penuh kepada tugas.
  • Memberi kepercayaan kepada mereka yang sanggup bekerja dan fokus pada pembangunan parti.
  • Hentikan rungutan dan kritikan tidak membina; sokong agenda reformasi secara seiring.

Peringatan itu disampaikan ketika beliau yang juga Presiden PKR berucap pada Konvensyen Keadilan Selangor di sini, hari ini.

“Mandat ini bukan untuk berbangga dengan kerusi atau gelaran, sebaliknya satu amanah untuk bekerja dan berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan setiap individu dalam parti perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelaksanaan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Mereka yang sanggup bekerja wajar terus diberi kepercayaan dan semua pihak perlu menumpukan usaha kepada pembangunan parti kerana masih banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan,” katanya lagi.

Datuk Seri Anwar turut mengingatkan agar budaya rungutan dan kritikan tidak membina dihentikan demi memastikan kelancaran pelaksanaan agenda parti.

Tambahnya, kekuatan parti bergantung kepada kesediaan semua pihak untuk bergerak seiring dan menyokong agenda reformasi.