fb fb fb fb fb

Malaysia-Uzbekistan sedia teroka kerjasama baharu - Anwar

Terdahulu, Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent bersempena lawatan kerja tiga hari beliau di negara Asia Tengah tersebut.

TASHKENT, 17 Mei- Malaysia-Uzbekistan sedia meneroka bidang kerjasama baharu bagi memperkukuh hubungan sedia ada.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini terutamanya dalam pendigitalan, peralihan tenaga selain kecerdasan buatan (AI).

"Sudah tentu kita perlu menjadi pragmatik, kerana kita berdepan dengan dunia yang mencabar.

"Kita perlu meneroka bidang baharu seperti digitalisasi, peralihan tenaga dan melengkapkan rakyat kita dengan pengetahuan baharu dalam bidang AI," kata Anwar dalam ucapannya ketika mengadakan sidang media bersama Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev di sini.

Terdahulu, Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent bersempena lawatan kerja selama tiga hari beliau di negara Asia Tengah itu.

Kunjungan Perdana Menteri itu juga bagi memenuhi undangan Presiden Uzbekistan, selain mengeratkan hubungan strategik kedua-dua negara.

Pada 2023, nilai perdagangan Malaysia-Uzbekistan ialah RM451.1 juta (AS$94.03 juta), dengan eksport ke Uzbekistan berjumlah RM449 juta (AS$93.6 juta) dan import berjumlah RM1.99 juta (AS$414,518).

Terdahulu, Anwar mengakhiri lawatan rasminya di Astana, Kazakhstan.

Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berterima kasih atas layanan diberikan kerajaan Kazakhstan kepada delegasi Malaysia.

"Sebelum menaiki pesawat saya sempat ucap selamat hari lahir kepada Presiden Tokayev.

"Semoga hubungan kedua-dua negara ini akan terus diperhebat demi manfaat bersama, insya-Allah," katanya.

 

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM