fb fb fb fb fb

Malaysia tuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua sukarelawan misi kemanusiaan ke Gaza

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Malaysia menuntut semua sukarelawan dalam misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang ditahan Israel ketika dalam pelayaran menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, dibebaskan serta-merta dan tanpa syarat.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar turut mendesak rejim Zionis menghormati hak sukarelawan kemanusiaan serta memastikan keselamatan dan maruah mereka, sentiasa terpelihara.

"Wisma Putra mengesahkan bahawa sembilan rakyat Malaysia berada di atas kapal berkenaan, dan memberi jaminan bahawa keselamatan serta kebajikan semua rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan tertinggi Kerajaan," katanya.

Kenyataan itu turut menyebut semua perwakilan diplomatik Malaysia di rantau berkenaan kini berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya.

Mereka telah mengambil langkah proaktif termasuk melaksanakan penyelarasan dengan pihak berkuasa dan kerajaan negara berkaitan bagi memastikan semua sukarelawan yang ditahan, selamat dan dibebaskan segera.

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim zionis memintas dan menyerang kapal misi bantuan FFC dan TMTG.

"Tindakan kejam Israel di perairan antarabangsa itu merupakan satu pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang maritim, kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa," katanya.

Malaysia bersolidariti bersama rakyat Palestin dan komited untuk terus menyokong segala usaha antarabangsa bagi menamatkan bencana kemanusiaan di Gaza serta mencapai keamanan yang adil, menyeluruh dan berkekalan di rantau itu.

HASLINDA BINTI HASSAN