
KUALA LUMPUR, 30 Mac – Malaysia bakal menjadi tuan rumah persidangan yang menghimpunkan ulama dan pimpinan agama dari seluruh dunia pada Jun ini, sekali gus memperkukuh peranan negara sebagai hab pemikiran dan kerjasama dunia Islam.
- Kerjasama JAKIM dan Liga Dunia Muslim (MWL) menyatukan organisasi besar bagi penganjuran persidangan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
- Perbincangan menumpu idea, solusi dan masa depan Islam dari Asia Tenggara ke pentas dunia.
- Seruan kepada umat Islam memanfaatkan persidangan untuk membina masyarakat berilmu, menguatkan ukhuwah dan melaksanakan Islah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menerusi hantaran di Facebook memaklumkan persidangan berkenaan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hasil kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Liga Dunia Muslim (MWL).
Menurut Dr Zulkifli, perkara itu dicapai ketika beliau memenuhi undangan Setiausaha Agung MWL Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa dalam rangka lawatan kerjanya di Arab Saudi.
“Apa yang menarik, perbincangan ini bukan sekadar formaliti. Ia tentang idea, solusi, dan masa depan Islam di rantau Asia Tenggara hingga peringkat dunia. Ini bukti bahawa Islam itu dinamik, relevan, dan bergerak seiring zaman.
“Perjalanan ini bukan sekadar jarak, tetapi misi menyatukan ummah. Ia membuka ruang ukhuwah dan kerjasama global JPM (Hal Ehwal Agama) bersama organisasi besar berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru umat Islam agar memanfaatkan penganjuran persidangan itu untuk sama-sama membina masyarakat berilmu, menguatkan ukhuwah, dan bersedia menjadi sebahagian daripada perubahan ummah.
“Dari sini kita bermula, dan kita mesti berjuang melaksanakan Islah sedaya upaya kita. Dunia sedang melihat, dan masa depan Islam juga ada pada kita,” ujarnya.