PUTRAJAYA, 9 Ogos - Malaysia tidak akan menyertai rundingan berhubung Deklarasi New York, selagi keganasan terhadap rakyat Palestin masih berlanjutan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, bahawa keutamaan ketika ini adalah menghentikan segera tindakan genosid, pembunuhan dan penjajahan yang berlaku di Gaza serta wilayah Palestin secara keseluruhan.
“Pendirian kita jelas hentikan keganasan, genosid, pembunuhan dan penjajahan terhadap Gaza dan Palestin. Kita tidak mungkin bersetuju untuk berunding dengan pihak yang setiap hari membunuh; ibarat datang ke rumah saya, membunuh anak dan isteri, kemudian meminta kita berbincang,” katanya.
Deklarasi New York yang sedang dibincangkan di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bertujuan merintis usaha damai antara Israel dan Palestin. Namun, Malaysia berpandangan proses itu tidak wajar diteruskan selagi serangan kejam ke atas Gaza masih berterusan.