KUALA LUMPUR, 6 Februari - Malaysia menolak sekeras-kerasnya rancangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berhubung isu pemindahan penduduk Gaza di Palestin secara paksa ke negara jiran.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selaku Pengerusi ASEAN 2025, kenyataan bersama-sama blok ASEAN akan dikeluarkan bagi menolak sepenuhnya rancangan tidak bermoral dan berunsur imperialisme itu.
"Kita jelas pendirian ASEAN sebagai pengerusinya, kita menjelaskan bahawa ASEAN tidak bersetuju sama sekali dengan apa juga tindakan yang dilakukan yang jelas melanggar hak asasi manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), melanggar undang-undang antarabangsa. Tindakan mengusir rakyat Palestin di Gaza adalah perkara yang amat kita kesali," kata Mohamad.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah di Dewan Rakyat.
Fokus utama masyarakat antarabangsa perlu kekal kepada usaha menamatkan pendudukan haram Israel serta memastikan keadilan bagi Palestin dan tidak membenarkan kuasa asing mengambil alih wilayah mereka.
Dalam pada itu selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan memberi fokus kepada peningkatan perdagangan dan pelaburan intra ASEAN yang masih pada tahap peratusan yang rendah.
Mohamad berkata, ia termasuk usaha menaik taraf penjanjian perdagangan barangan ASEAN dan perjanjian rangka kerja ekonomi digital ASEAN.
Katanya, kedua-dua perjanjian itu direka bagi perkukuh daya tahan ekonomi rantau ASEAN berikutan landskap ekonomi global yang sentiasa berubah.
"Tidak sampai 25 peratus pun peluang dan ruang untuk kita tingkatkan perdagangan dan pelaburan sesama negara ASEAN ini amat besar daan kita boleh manfaatkan ini," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Paya Besar, Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah.
Malaysia juga akan pergiat promosi komuniti inklusif, berdaya saing dan mampan dalam merapatkan jurang pembangunan serta meningkatkan kualiti kehidupan kelompok ASEAN.