KUALA LUMPUR, 6 Disember - Malaysia menentang sekeras-kerasnya segala bentuk keganasan yang bertentangan dengan norma kemanusiaan.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah keganasan itu termasuk konflik bersenjata meliputi pengeboman terhadap orang awam, hospital dan sekolah serta pemotongan bekalan air, elektrik dan makanan kepada orang awam.
"Malaysia menolak segala bentuk keganasan terhadap insan-insan yang tidak berdosa dalam sesuatu konflik bersenjata.
"Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka adalah menjadi tanggungjawab untuk menolak semua bentuk keganasan yang bertentangan dengan norma kemanusiaan antarabangsa," titah Yang di-Pertuan Agong.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen ke-13 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Pusat Dagangan Dunia, di sini.
Seri Paduka bertitah mengambil kira konflik bersenjata yang sedang berlaku itu, UPNM wajar dijadikan sebagai sebuah pusat utama dalam menerapkan kefahaman dan pematuhan masyarakat serta pemimpin masa hadapan negara terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor UPNM bertitah hal ini kerana undang-undang antarabangsa merupakan peraturan yang menekankan kepada elemen kemanusiaan dalam mengawal kesan buruk akibat konflik bersenjata dan peperangan.