KUALA LUMPUR, 6 Jun- Malaysia tetap dengan pendiriaan untuk tidak tunduk dengan kuasa besar dunia, malah akan mengikut dengan haluan tersendiri.
Selain menjaga kepentingan strategik dan nasional serta terus mempertahan keamanan dan menolak sebarang krisis keganasan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam meneruskan usaha yang produktif juga, Malaysia akan terus mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) dan China yang telah lama wujud.
"Kami telah membuktikan bahawa mengejar 'dynamic neutrality' bukan sahaja boleh dilaksanakan tetapi sangat diingini.
"Sepuluh tahun lalu, Malaysia dan AS telah meningkatkan hubungan dua hala dalam perkongsian strategik.
"Saya sering mengulangi kepentingan dan nilai pelaburan langsung asing yang berpangkalan di AS kepada Malaysia, terutamanya dalam sektor teknologi tinggi.
"Tahun ini juga, Malaysia menyambut ulang tahun ke-50 hubungan dengan China rakan perdagangan terbesar kami, pelabur utama dan rakan dua hala yang sangat rapat," kata Anwar semasa merasmikan Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-37 di sini.
Persidangan yang dianjurkan oleh badan pemikir Malaysia, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), yang berlangsung selama tiga hari itu turut dihadiri lebih 400 perwakilan dari rantau Asia Pasifik.
Dalam pada itu, mengenai isu Gaza, Anwar turut berharap agar AS terus menilai semula pendekatannya dan menyegerakan usaha bagi menamatkan keganasan di kawasan itu.
Anwar turut menyatakan kebimbangan terhadap tindakan segelintir pemimpin barat yang terus memberikan sokongan kepada Israel.
"Kami secara konsisten menyuarakan kebimbangan kami tentang keengganan AS dan barat untuk memberikan tekanan ke atas Israel.
"Walaubagaimanapun, adalah penting untuk mengakui ada perkembangan positif.
"Kami mengalu-alukan tanda-tanda awal perubahan ini dalam pendekatan AS terhadap konflik.
"Kami berharap AS akan terus menilai semula pendekatannya dan menyegerakan penamatan pembunuhan beramai-ramai," kata Anwar.
Sementara itu, Anwar berkata prinsip moral bakal ditekankan Malaysia dalam mengemudi rantau ini sebagai persiapan menjadi pengerusi ASEAN 2025.
Menurut Perdana Menteri, penekanan selari konsep Malaysia MADANI yang menekankan kepimpinan bersandarkan nilai etika yang tinggi dengan pendekatan sivil dan inklusif termasuk kesalinghubungan akan diguna pakai.
"Dalam menegakkan prinsip-prinsip kita yang kekal iaitu ketidakselarasan dan kerjasama, prinsip MADANI menunjukkan tindakan secara hormat dalam keterlibatan kita dalam membentuk sebuah wilayah.
"Untuk Malaysia, ASEAN bukan sekadar menjadi kuasa malah menjadi tonggak polisi dasar luar, selain menjadi aset penting kerajaan.. mesej yang dibawa ASEAN mestilah mewakili kesepakatan bersama, kegagalan untuk bertindak, akan menjejaskan matlamat dan semangat ASEAN dan mengabaikan kewajipan moral," kata Anwar.