KUALA LUMPUR, 29 Oktober- Malaysia menegaskan pendirian untuk tidak mengambil kesempatan daripada konflik perang dagang yang melibatkan Amerika Syarikat, China dan Rusia.
Sebaliknya menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, negara komited mengukuhkan rantaian global khususnya dalam sektor strategik seperti semikonduktor.
"Kita juga terus berusaha mengukuhkan hubungan diplomatik dan perdagangan positif dengan semua rakan dagang, termasuk Amerika Syarikat dan China," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Amirudin Shari yang meminta penjelasan mengenai pendirian Malaysia terhadap konflik perdagangan global.
Mengulas penyertaan Malaysia dalam BRICS, Zafrul menyatakan keyakinan bahawa kerjasama tersebut akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan eksport untuk jangka masa panjang.