BANGI, 16 Disember- Malaysia dan Thailand meningkatkan kerjasama dalam komoditi getah bagi memenuhi komitmen import eksport ke luar negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Thailand merupakan pengeksport getah nombor satu dunia.
"Dahulu kita merupakan nombor satu dunia, sekarang Thailand pengeksport getah dunia. Jadi kita beli banyak getah dari Thailand, terutamanya lateks.
"Kerjasama ini saya maklumkan kepada menteri berkaitan di Thailand bahawa Malaysia ingin menumpukan pengeksportan getah yang mampan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2024 di sini.
Sebelum itu Johari turut hadir dalam mesyuarat bilateral bersama-sama Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar pagi tadi.
Sementara itu Thailand bersetuju untuk memberikan hasil getah mampan kepada Malaysia.
"Kita mengimport getah dari Thailand bagi tempoh setahun adalah AS$950 (RM4.4 bilion), sementara jumlah eksport negara hanya AS$105 juta saja (RM467 juta)," katanya.
Dengan kemampanan dari kerjasama getah ini, ia akan beri manfaat kepada kedua-dua negara.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan agensi lain dapat membaik pulih 420,000 hektar tanah getah terbiar.