fb fb fb fb fb

Malaysia-Thailand komited segerakan tindakan dalam empat perkara utama - Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Srettha Thavisin menyertai lawatan ke tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao / Foto Bernama

BUKIT KAYU HITAM, 27 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin komited untuk menyegerakan tindakan dalam beberapa hal yang memberi faedah kepada kedua-dua negara.

Anwar dalam lawatan kerja seharinya ke Sadao, di Selatan Thailand berkata rundingan dalam masa singkat mengenai empat perkara utama iaitu pelaburan, pelancongan, kawalan keselamatan dan pertanian serta sekuriti makanan dijangka akan diputuskan dalam masa dua minggu.

"Saya juga ada pengalaman dari dulu sampai sekarang, walaupun hubungan baik dua negara, kerjasama ada, tapi saya lihat sikap sahabat saya Perdana Menteri Srettha ini sangat positif dan mahu menyegerakan keputusan dan kita beri dua minggu untuk kita beri respon dan semua keputusan," katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini selepas lawatan kerja berkenaan hari ini.

Tambah Anwar, kerajaan Thailand ketika ini mengambil sikap yang lebih lunak serta akrab dan mahu menjadikan kawasan di utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand sebagai kawasan pertumbuhan baharu.

Mengenai usaha meningkatkan kerjasama dalam industri halal bagi kedua-dua negara pula, Anwar berkata Malaysia mempunyai kekuatan dari segi pensijilan halal negara ini yang diiktiraf dunia, manakala Thailand mempunyai kelebihan dalam aspek penghasilan produk makanan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN