KUALA LUMPUR, 21 Ogos- Malaysia akan terus melakukan apa sahaja dalam membantu perjuangan Palestin yang menjadi mangsa kekejaman dan kezaliman rejim zionis Israel.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kuasa-kuasa besar dunia enggan menghentikan Israel daripada melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
"Tiada perkataan dapat menggambarkan betapa zalimnya rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin selama ini. Apa yang berlaku di Gaza sejak 10 bulan lepas adalah kekejaman, kezaliman dan genosid yang paling dahsyat terhadap manusiawi selepas Perang Dunia Kedua.
"...bagi mereka kalau di Ukraine, mereka sebut ia sebagai genosid, ini jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang, tetapi apabila berlaku (kekejaman) di Gaza, semua buat tak faham, (sebaliknya mengatakan) mereka berhak mempertahankan diri, bagi saya ini adalah tahap hipokrasi yang paling tinggi," katanya.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian dalam Ucapan Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Wanita UMNO di ibu negara.
Beliau menegaskan parti itu sentiasa berdiri teguh dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin untuk memerdekakan tanah air mereka dan membebaskan Baitul Maqdis serta Masjid Al-Aqsa.
Majlis perasmian itu turut dihadiri pimpinan tertinggi UMNO dan ketua ketiga-tiga sayap parti.
Perhimpunan Agung UMNO berlangsung bermula hari ini hingga 24 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur melibatkan seramai 6,433 perwakilan dari seluruh negara.