fb fb fb fb fb

Malaysia teroka potensi sisa pertanian hasilkan serabut nano selulosa

Foto-RTM

PUTRAJAYA, 1 Ogos - NanoMalaysia Berhad (NMB) bersama tiga syarikat tempatan dan antarabangsa memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka penggunaan sisa pertanian dalam penghasilan serabut nano selulosa.

MoU itu dimeterai dengan SEED Tech Sdn Bhd, XMU Jiageng Education Development Sdn Bhd dan Henan Yujian Building Renovation Technology Co. Ltd, membabitkan kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan bahan mampan berasaskan teknologi nano.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, usaha ini mencerminkan komitmen bersama untuk membina Asia yang lebih inovatif dengan sains dan teknologi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Pertukaran MoU berkenaan, yang berlangsung di Putrajaya.

Jelasnya, inisiatif ini bukan sahaja menjadikan Malaysia sebagai pengeksport sumber, malah sebagai pengeksport teknologi iaitu satu peralihan penting daripada ekonomi berasaskan sumber kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Langkah ini juga menyokong teras Kemampanan di bawah kerangka Malaysia MADANI dan selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi NMB, Mohamad Hafiz Zolkipli; Pengarah SEED Tech, Zhang Liang; Naib Presiden Universiti Xiamen Malaysia, Profesor Zhang Ying; dan Pengurus Besar Henan Yujian, Sun Lili.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN