
JOHOR BAHRU, 28 Februari – Kerajaan akan menilai kemungkinan kesan konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran terhadap pasaran tenaga global serta implikasinya kepada ekonomi Malaysia.
- Kerajaan akan nilai kesan konflik AS, Israel dan Iran terhadap pasaran tenaga global serta implikasinya kepada Malaysia.
- Tumpuan kepada potensi gangguan pengeluaran minyak dan gas kerana peranan penting Iran dalam pasaran tenaga.
- Malaysia akan tingkatkan ketahanan ekonomi domestik dan teliti kesan rantaian bagi lindungi kedudukan ekonomi negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, beberapa aspek perlu diberi perhatian termasuk hubungan langsung Malaysia dengan Iran serta impak ketegangan geopolitik terhadap ekonomi dunia.
Menurut beliau, antara perkara utama yang dinilai ialah potensi gangguan terhadap pengeluaran minyak dan gas memandangkan Iran memainkan peranan penting dalam pasaran tenaga global.
Kerajaan juga akan meneliti kesan rantaian terhadap ekonomi global, selain memperkukuh daya tahan ekonomi domestik agar sebarang cabaran luar tidak menjejaskan kedudukan ekonomi negara.
“Jika dilihat dari sudut harga pasaran dunia, pengeluar mempunyai mekanisme tertentu bagi menguruskan isu harga dan pengeluaran. Malaysia juga terlibat dalam beberapa mekanisme tersebut yang menjadi panduan dalam menguruskan pengeluaran serta harga di pasaran global.”
Akmal Nasrullah berkata demikian selepas menghadiri Program Komuniti anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM) di PPR Sri Stulang, Johor Bahru.