
KUALA LUMPUR, 27 Mac – Malaysia menegaskan pendirian tegas dalam menyokong usaha keamanan di Asia Barat, dengan menyeru penyelesaian menyeluruh dan berterusan bagi memastikan keselamatan serta kestabilan serantau, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Berbincang dengan Presiden Iran mengenai perkembangan konflik Asia Barat, menzahirkan sokongan dan komitmen Malaysia.
- Seru penyelesaian berteraskan keadilan, akauntabiliti dan komitmen jangka panjang bagi menangani konflik yang berlarutan.
- Tekankan penyelesaian tuntas untuk jamin keselamatan semua pihak, pulih maruah kemanusiaan, serta utamakan dialog dan diplomasi.
Perkara itu disuarakan beliau dalam perbualan telefon bersama Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengenai perkembangan terkini berhubung konflik Asia Barat yang kian meruncing
Perdana Menteri, berkata usaha berteraskan keadilan, akauntabiliti dan komitmen jangka panjang amat penting dalam menangani konflik yang berlarutan di rantau itu.
Beliau juga menegaskan bahawa keamanan sejati tidak boleh dicapai tanpa penyelesaian tuntas yang menjamin keselamatan semua pihak serta memulihkan maruah kemanusiaan.
“Malaysia percaya keamanan sejati menuntut penyelesaian yang tuntas, demi menjamin keselamatan semua pihak serta memulihkan maruah kemanusiaan di rantau Asia Barat,” katanya.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut menghargai penghargaan yang dizahirkan oleh Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, terhadap sokongan Malaysia dalam isu berkenaan.
“Saya turut menghargai penghargaan Presiden Pezeshkian terhadap sokongan Malaysia, dan komited untuk terus memperkukuh solidariti ini,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Malaysia terus menyeru agar semua pihak berkepentingan mengutamakan dialog serta pendekatan diplomatik bagi menamatkan konflik yang berpanjangan.
“Sama-sama kita doakan agar konflik di Asia Barat dapat menemui jalan damai dengan kadar segera,” ujar beliau.