KUALA LUMPUR, 4 April- Malaysia menawarkan untuk pencalonan sebagai Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2026 hingga 2029.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, kementeriannya dipertanggungjawabkan untuk membuat segala persiapan bagi memastikan matlamat tersebut tercapai.
"Jemaah Menteri telah membuat ketetapan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mewakili negara (bertanggungjawab) untuk pencalonan sebagai Presiden Persidangan UN-Habitat bagi penggal 2026 hingga 2029 itu.
"Jadi, kita akan mula membuat kerja persiapan agar dapat membantu meningkat dan mengangkat martabat Malaysia di pentas berkenaan," katanya ketika berucap pada majlis iftar bersama media di sini.
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi mandat kepada UN-Habitat untuk mempromosikan bandar dan pengurusan bandar yang mampan.
Ia meliputi sosial dan alam sekitar dengan matlamat menyediakan tempat perlindungan yang mencukupi untuk semua.