fb fb fb fb fb

Malaysia sokong Resolusi 2728, tuntut gencatan senjata dan bantuan segera ke Gaza- PM

FOTO AFP

KUALA LUMPUR, 26 Mac- Malaysia hari ini menyokong Resolusi 2728 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan menggesa agar resolusi yang diiktiraf mengikut undang-undang itu, dikuatkuasakan serta-merta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu kenyataan berkata rakyat Gaza mesti dibebaskan daripada keseksaan dan penderitaan yang telah mereka alami selama hampir enam bulan.

"Sempena Ramadan yang menimbulkan keinsafan, bulan bermunajat dan untuk meningkatkan amal serta kembali bersama-sama keluarga, resolusi yang diiktiraf mengikut undang-undang hari ini mesti dikuatkuasakan dengan serta-merta," katanya.

Tambah Perdana Menteri, Amerika Syarikat khususnya mesti memastikan sekutunya untuk menghormati kehendak masyarakat antarabangsa iaitu mematuhi gencatan senjata serta membenarkan kemasukan bantuan kecemasan secara segera dan besar-besaran.

"Kami memuji keberanian dan komitmen terhadap kemanusiaan sepuluh orang yang dipilih ahli majlis, Algeria, Guyana, Ecuador, Jepun, Malta,Mozambique, Sierra Leone, Slovenia, Korea Selatan dan Switzerland.

"Malaysia kekal komited kepada perjuangan Palestin dan usaha untuk penubuhan sebuah negara merdeka dan berdaulat Palestin akan diteruskan berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negerinya, serta kemasukan Palestin sebagai ahli penuh PBB," katanya dalam kenyataan tersebut.

Resolusi UNSC 2728 yang diluluskan semalam menuntut agar gencatan senjata segera bagi semua konflik di Gaza sepanjang Ramadan, pembebasan serta-merta semua tebusan, serta keperluan mendesak dan penting untuk memperluaskan aliran bantuan ke wilayah tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE