KUALA LUMPUR, 11 Mei- Malaysia mengalu-alukan Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa agar Majlis Keselamatan PBB menimbang semula permohonan Palestin untuk diterima sebagai Anggota Penuh PBB, setelah permohonan tersebut digagalkan oleh satu undi veto pada bulan lalu.
Menerusi satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan, resolusi yang telah diluluskan semasa Sesi Kecemasan Khas Ke-10 di Perhimpunan Agung PBB pada Jumaat itu telah disokong oleh 143 buah negara, sembilan menentang manakala 25 berkecuali.
"Sokongan melebihi dua pertiga negara anggota PBB untuk menyokong hak rakyat Palestin menentukan nasib mereka sendiri dan hak untuk negara Palestin yang berdaulat, menzahirkan komitmen masyarakat antarabangsa yang tidak berbelah bahagi untuk mencapai keamanan yang berkekalan di Asia Barat.
"Resolusi ini juga memberikan hak dan keistimewaan kepada Palestin untuk menyertai secara penuh sesi-sesi di PBB,"menurut kenyataan tersebut.
Tambah Wisma Putra, Malaysia telah menyokong dan menaja bersama resolusi itu, bersama-sama dengan 76 negara anggota PBB yang lain.
"Malaysia akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, serta kemasukan Palestin sebagai anggota penuh PBB,"jelas kenyataan itu.