fb fb fb fb fb

Malaysia-Singapura teroka potensi bidang keterjaminan makanan

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya
dari Singapura, Lee Hsien Loong/BERNAMA)

SINGAPURA, 30 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat bidang keterjaminan makanan sebagai salah satu bidang yang boleh diteroka bersama Singapura, dengan sasaran memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Dalam lawatan sulung beliau ke republik itu selaku perdana menteri ke-10, beliau berkata bidang keterjaminan makanan boleh diteroka, seiring dengan isu tertunggak yang perlu diberi tumpuan oleh Malaysia dan Singapura.

"Bidang ini (keterjaminan makanan) yang saya fikir kami akan dapatkan sokongan Singapura untuk memanfaatkan Malaysia sebagai pusat utama untuk pengeluaran bagi faedah kedua-dua negara", katanya.


(Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap semasa majlis makan tengah hari
yang dihoskan oleh rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong/FB PM)

Anwar berkata demikian semasa berucap dalam majlis makan tengah hari rasmi yang dihoskan oleh rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong.

Beliau juga optimis, banyak lagi yang boleh dilakukan untuk memberi manfaat kepada rakyat.

Sementara itu, Lee dalam ucapannya berkata perbincangan mereka hari ini banyak membuahkan hasil, termasuk mengenai bagaimana kedua-dua negara boleh mencapai kemajuan dalam pelbagai isu dua hala yang tertunggak.

"Sebagai rakan dan jiran yang baik, hala tuju Singapura dan Malaysia adalah saling berkait. Apabila kita bekerjasama secara konstruktif, kita akan mendapat hasil menang-menang dengan manfaat ketara bagi rakyat dan urusan kita.

"Saya yakin, dengan sokongan Perdana Menteri Malaysia, hubungan Singapura-Malaysia boleh mencapai tahap yang tinggi," katanya.

Terdahulu Anwar mengadakan pertemuan empat mata dengan Lee, sebelum membuat kunjungan hormat terhadap Presiden Singapura, Halimah Yacob.

Media Baharu