SINGAPURA, 30 Oktober- Kajian daya maju bagi pengukuhan ekosistem Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor - Singapura akan dijalankan bagi mengetahui perkara yang harus diberi tumpuan terhadap zon ekonomi tersebut pada masa akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata menerusi hasil kajian itu, Kuala Lumpur - Singapura akan menandatangani Memorandum Persefahaman, yang akan dimeterai Januari tahun depan.
"Mengenai SEZ, seperti mana Perdana Menteri (Lee Hsien Loong) sudah perkatakan juga..kita akan cuba mempercepatkan proses itu. Kita diberi tempoh yang singkat untuk mereka bersetuju dengan parameter dan menandatangani MOU pada 11 Januari depan.
" Saya harap ia akan membuahkan hasil. Saya tidak rasa tidak ada terlalu banyak isu kompleks kerana mereka sudah berbincang dan telah diakses oleh kedua-dua menteri. Saya rasa kita menjangkakan untuk sebarang persetujuan atau persefahaman menjelang pertengahan Januari," katanya.
Anwar berkata demikian pada Sidang Media Bersama Perdana Menteri Malaysia-Singapura di Singapura.
Perkara itu disokong Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dengan menyifatkan ia platform meningkatkan tarikan ekonomi untuk kedua-dua negara.
"Kita ada agenda untuk bekerjasama secara dua hala. Kita berhasrat untuk bersama membangunkan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor - Singapura.. yang mana ia sebuah projek besar. Di mana ia akan menambah baik aliran barangan antara kedua-dua pihak, memperkukuh ekosistem perniagaan dan meningkatkan tarikan ekonomi untuk kedua-dua pihak," ujarnya.