GURUN, 24 Disember - Malaysia selaku Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) tahun depan, akan melawat setiap negara anggota ASEAN bermula 13 Januari 2025 sebelum persidangan yang dijadual berlangsung pada September 2025.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata, pihaknya akan memastikan Malaysia menjadi tuan rumah terbaik penganjuran perhimpunan berkenaan.
Beliau sebagai Presiden AIPA itu berkata lawatan berkenaan bagi mendapatkan input-input yang terbaik daripada pelbagai sektor melibatkan kesemua negara terlibat.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah merancang dan bersedia untuk menguruskan semua acara berkaitan iaitu lima mesyuarat termasuk perhimpunan agung AIPA di Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 6 September tahun hadapan.
"Manakala mesyuarat -mesyurat yang lain kita bedak-bedakkan termasuk mesyuarat di Selangor di Pahang berlaku di Sarawak supaya tetamu yang datangkita agih-agih ke negeri supaya mereka bukan sahaja dapat melihat keindahan dan kehebatan Kuala Lumpur.
"Malah akan lihat apa sedang berlaku di luar Kuala Lumpur, Pahang dan Sarawak. Dan kita juga akan buat yang terbaikalah. Insha-Allah saya yakin sambutan yang saya dapat maklum balas, saya juga yang 13 bulan depan akan lawat semua negara ASEAN untuk bincang sebelum semua mesyuarat berlaku saya akan lawat semua negra ASEAN untuk pastikan menjadi tuan rumah yang terbaik," kata Johari.
Beliau bercakap kepada media selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada 55 keluarga terjejas banjir sekitar Jeniang di Masjid Safuan, Pekan Jeniang.
Johari yang juga merupakan bekas ADUN Gurun berkata beliau bersimpati dengan bencana yang menimpa penduduk terjejas banjir di Kedah kerana kawasan itu dekat dihati beliau dan akan berusaha memberi bentuk bantuan-bantuan lain dengan kerjasama agensi kerajaan.
Terdahulu konvoi enam buah kenderaan pacuan empat roda membawa lebih 15 sukarelawan terdiri daripada warga kerja Parlimen Malaysia bertolak dari Kuala Lumpur semalam.
Turut sertai konvoi Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman. Jeniang menjadi lokasi pertama misi bantuan itu sebelum dicadangkan diperluaskan ke lokasi lain.