fb fb fb fb fb

Malaysia seru negara ASEAN bekerjasama dengan Jepun, bidang keselamatan siber

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto PMO

TOKYO, 17 Disember- Malaysia menyeru negara anggota ASEAN agar bekerjasama dengan Jepun dalam bidang keselamatan siber, mengambil kira kemajuan Jepun dalam bidang tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan kedua pihak boleh berkongsi kepakaran dan amalan terbaik, antaranya dalam aspek harta intelektual dan perlindungan data peribadi.

Beliau berucap pada sesi pertama Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun, di Tokyo.

Dalam ucapan sama, Datuk Seri Anwar turut menyatakan penghargaan kepada Jepun atas komitmen dalam aspek keselamatan rantau Indo-Pasifik yang dibawakan menerusi rangka kerja 'Japan’s Free and Open Indo-Pacific'.

Menerusinya, Malaysia telah mendapat manfaat hasil latihan dalam bidang trafik perkapalan dan undang-undang laut antarabangsa melibatkan Selat Melaka.

Lebih banyak inisiatif dicadangkan khususnya dalam bidang keselamatan petunjuk arah dan perancangan pelayaran di laluan Selat Melaka.

Berkenaan isu Gaza, Datuk Seri Anwar berkata ASEAN dan Jepun secara kolektifnya mampu memainkan peranan signifikan dalam komuniti global ke arah penyelesaian damai dan tuntas konflik Palestin-Israel.

Beliau  turut menghargai sokongan negara anggota ASEAN serta Jepun kepada resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Gaza minggu lalu.

Justeru, beliau menyeru kerjasama semua pihak diteruskan ke arah merealisasikan resolusi tersebut.

ROSLINA BINTI DIN