GEORGE TOWN, 5 April- Malaysia terus komited dalam menyampaikan bantuan tambahan bagi misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin melalui sempadan Rafah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tambahan bantuan itu boleh dilakukan kerana kerajaan masih mempunyai peruntukan untuk berbuat demikian.
"Insya-Allah, kita akan bantu sebab masih ada peruntukan, 'queue' banyak ratus lori (untuk bantuan), jadi biar 'clear' dulu, (supaya) pengedaran (bantuan) lebih teratur,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Al-Huda Sungai Ara di Bayan Lepas di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pada masa ini misi bantuan kemanusiaan dari Malaysia sememangnya sudah bersiap sedia di sempadan Rafah.
“(Berapa jumlah nilai bantuan Malaysia yang tersedia) Saya tak ingat tetapi tiga, empat kali dah. Dua kali saya minta Presiden (Mesir) Abdel Fattah El-Sisi dan dua minggu lalu dia bantu percepatkan, dan kali ketiga dah sampai, tetapi sekarang ini yang 'standby' masih ada.
"Israel sudah khianat sekian lama, orang (rakyat Gaza) dah hampir kebuluran," katanya lagi.
Selepas solat Perdana Menteri sempat meluangkan masa bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah yang hadir.
Anwar dijadualkan menghadiri taklimat pembangunan Pulau Pinang di Komtar di sini, sebelum ke Program Bubuk Lambuk MADANI di Masjid Kubang Semang, Bukit Mertajam dan meninjau Bazar Ramadan Pasar Awam Seberang Jaya serta Majlis Berbuka Puasa MADANI peringkat negeri di UiTM Pulau Pinang, dalam lawatannya ke negeri itu hari ini.