KUALA LUMPUR, 13 Disember- Lanjutan daripada pemeteraian Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (RESA) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sembcorp Power Pte Ltd (Sembcorp Power) pada 9 Disember 2024 yang lalu, penyaluran tenaga elektrik hijau pertama dengan kapasiti 50MW dari Malaysia ke Singapura telah bermula hari ini.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi satu kenyataan memaklumkan detik bersejarah bagi perdagangan tenaga elektrik hijau merentas sempadan antara Malaysia dan Singapura itu telah disaksikan Timbalan Menteri, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama pengurusan tertinggi daripada kementerian, Suruhanjaya Tenaga dan juga TNB, di Pusat Kawalan Muatan Kuasa Nasional atau National Load Dispatch Centre di Ibu Pejabat TNB Bangsar.
"TNB selaku syarikat utiliti nasional bertanggungjawab menyalurkan bekalan elektrik hijau dari sistem bekalan elektrik negara ke sistem bekalan elektrik Singapura melalui Syarikat Sembcorp Power yang merupakan pemegang lesen import bekalan elektrik di negara tersebut.
"Penyaluran tenaga elektrik ini dilakukan menerusi rangkaian sambung tara sedia ada di antara kedua-dua negara.Pembekalan elektrik hijau merentas sempadan dari Malaysia ke Singapura yang ini adalah hasil daripada pelaksanaan bidaan menerusi Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada bulan Jun 2024," menurut kenyataan PETRA.
Kenyataan itu turut menyebut, bidaan menerusi ENEGEM adalah sebahagian daripada inisiatif PETRA bawah Skim Perdagangan Elektrik Merentas Sempadan untuk Tenaga Boleh Baharu atau Cross-Border Electricity Sales for Renewable Energy Scheme (CBESRE).
"PETRA yakin pelaksanaan inisiatif pembekalan elektrik hijau merentas sempadan ini akan menyokong aspirasi peralihan tenaga negara serta menyumbang kepada komitmen Malaysia dalam menerajui inisiatif integrasi bekalan elektrik serantau melalui pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN atau ASEAN Power Grid, yang merupakan salah satu agenda utama negara untuk kepengerusian ASEAN - Malaysia pada tahun 2025," menurut kenyataan tersebut.