fb fb fb fb fb

Malaysia-Rusia perkukuh hubungan dua hala, perluas peluang perdagangan

Alexey Gruzdev bersama-sama Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (kanan)

KUALA LUMPUR, 29 November- Malaysia dan Rusia memperkukuh hubungan dua hala dan memperluas peluang perdagangan selain memanfaatkan peluang berkenaan bagi meningkatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Potensi berkenaan menjadi tumpuan utama dalam pertemuan penting antara Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Irmohizam Ibrahim, dan Timbalan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Rusia Alexey Gruzdev.

Dialog itu juga menekankan pelbagai potensi kerjasama dalam sektor utama seperti Acara Perniagaan (BE), teknologi maklumat, penjagaan kesihatan, dan keselamatan digital.

Irmohizam berkata ia turut menonjolkan kelebihan strategik yang ditawarkan oleh rangkaian global World Trade Centers Association (WTCA) dalam perdagangan dan pelaburan, sekali gus memudahkan hubungan perniagaan merentas sempadan.

"Malaysia dan Rusia berkongsi diplomasi dan kerjasama, dan saya yakin forum ini menandakan permulaan baharu dalam perkongsian ekonomi kita. Sinergi antara kedua-dua negara, yang disatukan oleh rangkaian global WTCA, boleh membawa kepada kerjasama penting dalam sektor-sektor utama," katanya.

Sementara itu Alexey Gruzdev turut menyuarakan pandangan sama dan menyatakan kesediaan Rusia untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam meneroka penyelesaian inovatif dan membentuk perjanjian perdagangan.

Kedua-dua negara juga optimis terhadap masa depan selain mengiktiraf kepentingan untuk memperkukuh hubungan bagi menangani cabaran global dan memanfaatkan peluang.

Pertemuan itu memperlihatkan permulaan usaha bersama bagi memperkukuh hubungan dua hala, dan perancangan dialog strategik serta inisiatif bersama pada masa depan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI