fb fb fb fb fb

Malaysia kini dapat pengiktirafan antarabangsa lebih baik - PM

FOTO FACEBOOK Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 9 September- Malaysia kini mendapat pengiktirafan yang lebih baik di peringkat antarabangsa berbanding sebelumnya, hasil daripada kerjasama strategik Malaysia dengan beberapa kuasa besar termasuk China dan Rusia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia telah mempererat hubungan dengan China berikutan keupayaan dan kekuatan ekonomi negara tersebut.

Malaysia juga memanfaatkan kerjasama dengan Rusia dalam bidang teknologi aeroangkasa, tenaga dan nuklear yang telah menunjukkan perkembangan pesat.

"Walaupun kita mendekati China kerana keupayaan dan kekuatan ekonomi China lebih segar bugar sekarang ini, dan mutakhir dengan Rusia, kerana keupayaan Rusia dalam beberapa bidang teknologi, (antaranya) aeroangkasa, tenaga, nuklear yang jauh lebih pantas, (tetapi) kita kekal dengan sahabat-sahabat tradisional kita termasuk, ASEAN, Eropah dan Amerika Syarikat," katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

SITI AISHAH MD ISA