fb fb fb fb fb

Malaysia potensi besar sebagai teraju agenda tenaga Asia

Persidangan Energy Asia 2025

KUALA LUMPUR, 16 Jun- Keyakinan terhadap Malaysia sebagai hab tenaga serantau semakin kukuh apabila syarikat gergasi tenaga global menyuarakan sokongan penuh terhadap usaha negara dalam memimpin agenda tenaga bersih Asia tahun ini sempena ASEAN 2025.

Naib Presiden Kanan, Ketua Garis Perniagaan & Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Excom) McDermott, Mahesh Swaminathan berkata, kehadiran syarikatnya di Malaysia selama lebih lima dekad mencerminkan kepercayaan terhadap ekosistem tenaga negara yang kian berkembang pesat.

"Malaysia merupakan ibu pejabat bagi satu unit global syarikat kami. Kami mengendalikan projek-projek di Amerika, Afrika, Australia dan Asia dari Malaysia.

"Kami mempunyai hampir 11,000 jurutera dan kami sangat teruja. Kami melihat Malaysia sebagai lokasi global yang sangat strategik untuk menjalankan perniagaan tenaga," katanya.

Tambah beliau, Energy Asia 2025 kali ini membawa pendekatan lebih optimistik dengan penyertaan aktif syarikat-syarikat tenaga utama seperti Shell dan Total Energies yang bakal membuka lebih banyak peluang kerjasama dan pelaburan di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Essential Business Malaysia (EBM), Felix Heinimann menyifatkan edisi kali ini sebagai satu permulaan kepada penyelesaian sebenar dalam menangani cabaran peralihan tenaga global.

"Ia jauh lebih relevan. Ia lebih tepat dan fokus pada ketika ini. Yang pertama (2023) lebih kepada menyediakan landasan.

"Saya berpendapat kali ini akan memberikan penyelesaian yang jauh lebih nyata. Saya sangat, sangat yakin tentang perkara itu," katanya.

Tambahnya, pendekatan Petronas yang terus proaktif menangani perubahan geopolitik dan landskap industri turut menjadi inspirasi kepada banyak pemain industri lain.

Persidangan Energy Asia 2025 anjuran Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur berlangsung sehingga 18 Jun ini menghimpunkan lebih 5,000 peserta dari seluruh dunia.

Tumpuan utama diberikan kepada kelestarian, inovasi dan keadilan dalam peralihan tenaga di Asia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI