fb fb fb fb fb

Malaysia perlu rebut peluang majukan penyelidikan klinikal - PM

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 9 Mei- Malaysia harus merebut peluang dan berusaha memajukan pembaharuan serta menghapuskan halangan penyelidikan klinikal, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ia harus dicerminkan dalam kemudahan menjalankan perniagaan, menambah baik garis masa dan mengurangkan karenah birokrasi.

"Peluang pelaburan untuk industri penyelidikan klinikal mesti dipermudahkan dan peraturan serta dasar dikemas kini untuk kekal relevan dengan keperluan pasaran semasa.

"Kerajaan Malaysia mengiktiraf cadangan menjadikan negara ini sebagai hab percubaan klinikal global, serta kualitatifnya sumbangan kepada penjagaan kesihatan," katanya.

Anwar berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semasa majlis perasmian Clinical Research Malaysia (CRM) Trial Connect 2024 di ibu negara, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan menghargai pelaburan yang dibuat dan berusaha secara berterusan untuk memberi faedah nilai tambah kepada pelabur dalam industri penyelidikan klinikal di negara ini.

Jelas Perdana Menteri lagi, selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, lebih 2,700 pekerjaan mahir membabitkan bidang saintis dan bioinformatika dicatatkan pada tahun lepas.

"Pasaran percubaan klinikal global bernilai lebih AS$80 bilion pada 2023, dengan unjuran pertumbuhan 6.5 peratus setiap tahun. Separuh daripadanya kini sangat tertumpu di rantau Asia Pasifik terutama di China, Korea Selatan, Jepun dan Australia.

"Saya percaya bahawa negara-negara Asia Tenggara adalah 'gergasi yang sedang tidur' kerana secara keseluruhan ia adalah salah satu lokasi paling pelbagai, yang mempunyai tenaga kerja mahir dan infrastruktur sokongan," katanya lagi.

SITI AISHAH MD ISA