
KUALA LUMPUR, 10 Februari – Ketersediaan data digital menjadi keutamaan Malaysia dalam persediaan menuju Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030.
- Digitalisasi semua data kerajaan sebagai keutamaan untuk menyokong pembangunan teknologi dan perkhidmatan awam.
- Polisi memastikan data didigitalkan disimpan dan dikongsi secara selamat untuk kegunaan penyelesaian teknologi baharu.
- Pelancaran Polisi Pendigitalan Data Sektor Awam dan perluasan platform MyGDX bagi perkongsian data sektor awam.
- MyGDX kini digunakan oleh 81 agensi dengan lebih 65 juta transaksi API, boleh dikembangkan ke sektor swasta.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata semua data kerajaan perlu berada dalam bentuk digital bagi menyokong pembangunan teknologi baharu dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.
“Dalam aspek ini, perlu ada polisi yang memastikan data kerajaan di kementerian, jabatan dan agensi berada dalam bentuk digital,” katanya.
Menurut beliau, data yang didigitalkan mesti disimpan dan dikongsi secara selamat supaya boleh dimanfaatkan untuk penyelesaian berasaskan teknologi.
“Apabila polisi dilancarkan, kita perlu pastikan data yang didigitalkan itu disimpan dengan selamat, boleh dikongsi dengan selamat dan digunakan untuk tujuan penyelesaian menggunakan teknologi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Polisi Pendigitalan Data Sektor Awam dan Perluasan Platform Perkongsian Data Sektor Awam (MyGDX) di sini.
Platform MyGDX kini dimanfaatkan 81 agensi dengan lebih 65 juta transaksi Application Programming Interface (API).
Ia melibatkan perkongsian data kritikal termasuk profil penjawat awam, maklumat pelajar institusi pengajian tinggi, semakan pasport dan pendaftaran kenderaan.
Gobind berkata kerajaan sedang menilai kemungkinan memperluaskan MyGDX ke sektor swasta dengan mengambil kira aspek keselamatan data.
“Kita berharap MyGDX dapat diperluaskan ke sektor swasta, namun kerajaan perlu menentukan perkara yang sesuai untuk dibuka,” katanya.