
AMSTERDAM, 11 Mac – Kerjasama antarabangsa dalam pembangunan Sistem Pengangkutan Pintar atau Intelligent Transport Systems (ITS) terus diperkukuh bagi memacu ekosistem mobiliti pintar negara.
- Delegasi Malaysia berbincang dengan ERTICO, ITS Germany dan Connekt/ITS Netherlands bagi terokai kerjasama teknologi mobiliti pintar dan infrastruktur pengangkutan digital.
- Usaha selaras Pelan Induk ITS Malaysia 2025-2030, memfokuskan sistem pengangkutan lebih pintar, berasaskan data dan diperkasa teknologi.
- Malaysia mahu manfaatkan pengalaman Eropah dalam pengurusan trafik digital, integrasi data mobiliti dan penggunaan teknologi baru termasuk kecerdasan buatan.
- Menjemput rakan industri antarabangsa ke MY ASEAN Roads and Traffic Expo 2026 dan Malaysia Road Conference Oktober 2026 untuk percepat penerapan teknologi mobiliti pintar.
Kementerian Kerja Raya dalam kenyataan memaklumkan, usaha itu diterajui Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi sesi libat urus strategik bersama peneraju ITS Eropah bersempena Intertraffic Amsterdam 2026 di Amsterdam, Belanda.
Delegasi Malaysia mengadakan perbincangan dengan ERTICO – ITS Europe, ITS Germany serta Connekt / ITS Netherlands bagi meneroka kerjasama teknologi mobiliti pintar dan pembangunan infrastruktur pengangkutan digital.
“Kerjasama tersebut selaras dengan Pelan Induk ITS Malaysia 2025 hingga 2030 yang memberi tumpuan kepada sistem pengangkutan lebih pintar, berasaskan data dan diperkasa teknologi.
“Malaysia juga berhasrat memanfaatkan pengalaman negara Eropah dalam pengurusan trafik digital, integrasi data mobiliti serta penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan bagi meningkatkan kecekapan dan keselamatan sistem pengangkutan,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, Malaysia menjemput rakan industri antarabangsa menyertai MY ASEAN Roads and Traffic Expo and Conference 2026 serta Malaysia Road Conference 2026 yang dijadual berlangsung Oktober depan.
Langkah itu diharap dapat mempercepat penerapan teknologi mobiliti pintar demi sistem pengangkutan yang lebih cekap, selamat dan mampan.