KUALA LUMPUR, 22 Februari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron senada untuk mempertingkat kerjasama dalam bidang pertahanan, ekonomi dan tenaga selain perdagangan, pelaburan, pelancongan dan juga kecerdasan buatan (AI).
Beliau menerusi hantaran di Facebook memaklumkan panggilan telefon tersebut turut menyatakan kesediaan kerajaan menerima kehadiran Macron dan delegasi ke Malaysia pada Mei depan dalam usaha meningkatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.
Selain itu kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai Gaza dan isu berkaitan Myanmar.
"Saya turut menyatakan penghargaan kepada Macron di atas sokongan diberikan terhadap pembangunan semula Gaza ekoran kekejaman rejim zionis Israel sebelum ini.
"Kami juga sepakat untuk mencari jalan penyelesaian dalam isu berkaitan Myanmar dalam mewujudkan keamanan di negara itu menggunakan pendekatan diplomatik yang bersesuaian," menurut hantaran itu.
Perkara yang dibincangkan itu merupakan perkembangan hasil pertemuan kedua-dua pemimpin ketika menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Rio De Janeiro, Brazil, pada 19 November lalu.