PUTRAJAYA, 11 Julai - Malaysia-Pakistan senada memuktamadkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Rapat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) serta memperhalusi langkah untuk memperluaskan eksport daging halal dari Pakistan dengan penekanan terhadap daya saing harga.
Menerusi perbincangan dua hala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Pakistan merangkap Timbalan Perdana Menteri Pakistan, Mohammad Ishaq Dar turut bersetuju meneroka kerjasama dalam bidang baharu.
"Kami turut meneroka peluang baharu dalam bidang pertanian termasuk perdagangan beras," katanya menerusi kenyataan.
Mohammad Ishaq mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Seri Anwar bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM Ke-58).
Nilai perdagangan Malaysia-Pakistan menyaksikan peningkatkan lebih 25 peratus tahun lalu kepada AS$1.76 bilion.
Perbincangan kedua-dua pemimpin itu turut memberi fokus perkembangan serantau dan global.
“Ini termasuk hubungan ASEAN-Pakistan serta isu Jammu dan Kashmir. Malaysia kekal menyokong penyelesaian secara aman melalui dialog sejajar dengan Resolusi Majlis Keselamatan PBB (Pertubuhan Bangsa Bersatu).
“Kami turut menggalakkan keterlibatan lebih erat antara Pakistan dan ASEAN pada masa hadapan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, turut dibincangkan mengenai persiapan lawatan rasmi Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif ke Malaysia tidak lama lagi dengan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dijangka akan dimeterai dalam lawatan berkenaan.