PUTRAJAYA, 20 Januari- Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama ASEAN bagi mengekalkan kestabilan serantau melalui rangka kerja ASEANAPOL dan INTERPOL.
Malaysia secara aktif menyumbang kepada perkongsian perisikan dan gangguan sindiket jenayah rentas negara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerajaan mengambil langkah proaktif dalam penguatkuasaan undang-undang pemodenan, menentang keganasan, dan pertahanan siber.
"ASEANAPOL saya yakin modus operandi yang digunakan telah dimodifikasikan mengikut kaedah yang telah banyak diubah suai dalam hal ini saya yakin kopolisan moden tidak lagi meramaikan komitmen anggota yang beruniform berada di lokasi tetapi lebih kepada peralatan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE 25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, PICC.
AISSIE 25 mengetengahkan pameran teknologi tinggi, teknologi keselamatan canggih dan peralatan daripada syarikat terkemuka dalam industri.
Acara yang julung kali diadakan membabitkan lebih 100 organisasi keselamatan, 1,000 peserta delegasi persidangan, 60 delegasi tetamu kenamaan dan lebih 5,000 pelawat dari lebih 20 negara mengambil bahagian pada acara tiga hari itu.
Antaranya China, India, Indonesia, Jepun, Laos, Filipina, Qatar, Singapura, Thailand, Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memaklumkan, kerajaan perlu melabur lebih banyak untuk alatan teknologi tinggi dalam meningkatkan tahap kepolisan moden bagi mencegah jenayah siber.
Beliau berkata langkah itu dapat mencegah jenayah secara lebih berkesan.
"Terdapar negara-negara maju yang mempunyai kamera litar tertutup berdefinisi tinggi yang dipasang setiap 50 meter di setiap kawasan sensitif, ini harus dilakukan dan kerajaan harus melabur melalui kepolisan moden ini di negara kita," katanya.
Tambahnya lagi, tindakan dalam memacu pencegahan dan penguatkuasaan hendaklah disegerakan.
Pihaknya sentiasa yakin dengan kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga kerjasama ASEANAPOL untuk seluruh negara Asean mendepani penjenayah siber yang sentiasa mempertingkatkan keupayaan mereka.