fb fb fb fb fb

Malaysia optimis FDI dari Jepun akan melebihi RM30 bilion tahun ini

Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 5 November- Malaysia kekal komited untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi dua hala dengan Jepun terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia optimis pelaburan langsung asing (FDI) dari Jepun akan melebihi RM30 bilion (AS$6.33 bilion) pada tahun ini.

"Tahun ini, kita ada komitmen FDI dari Jepun yang melebihi RM30 bilion atau AS$6.33 bilion.

"Ini sangat mengagumkan daripada syarikat (Jepun) yang sudahpun melabur di Malaysia, yang sentiasa membuat komitmen untuk meningkatkan dan mengembangkan pembangunan mereka ke Malaysia," katanya dalam ucapan ketika sesi sidang media bersama rakan sejawatnya dari Jepun, Fumio Kishida di sini.

Selain itu, sebagai negara rakan Komuniti Pelepasan Sifar Bersih Asia (AZEC), Malaysia dan Jepun komited untuk melaksanakan usaha yang lebih penting menyahkarbon dan mencapai aspirasi pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih yang lebih besar.

“Perbincangan kami memberi keutamaan kepada peralihan tenaga. Kita berharap dapat mengukuhkan kerjasama dengan Jepun kerana kita telah mengeksport LNG (gas asli cecair) melalui Petronas selama beberapa dekad dan ini adalah sesuatu yang Perdana Menteri Kishida dan delegasinya sangat berminat untuk lakukan,” katanya.

Pada 2022, LNG merupakan eksport utama Malaysia ke Jepun merangkumi 31 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport ke negara tersebut.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Jepun dengan penubuhan cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia yang bakal memberi pendedahan dan akses kepada sistem pendidikan negara itu kepada pelajar Malaysia.

"Kami juga bersetuju dengan penubuhan cawangan kampus Universiti Tsukuba di Malaysia dan kami akan mempercepatkan prosesnya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:
Anwar, Kishida adakan pertemuan perkukuh hubungan Malaysia-Jepun
PM Jepun tiba ke Malaysia bagi lawatan kerja dua hari

SITI AISHAH BINTI MD ISA