KOTA BHARU, 20 April – Malaysia menyasarkan ketibaan seramai 45 juta pelawat antarabangsa pada tahun ini dengan jangkaan pendapatan mencecah RM270 bilion, berdasarkan prestasi memberangsangkan sektor pelancongan tahun lalu.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata pada 2023 Malaysia mencatatkan lebih 38 juta ketibaan pelawat antarabangsa, peningkatan sebanyak 31.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, sebanyak 6.7 juta ketibaan telah direkodkan, meningkat 31.3 peratus berbanding 5.1 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Singapura, China dan India kekal sebagai negara penyumbang utama pelancong ke Malaysia.
“Melihat kepada trend semasa, sasaran 45 juta pelancong bukanlah sesuatu yang mustahil. Namun, untuk mencapainya, kerjasama erat semua pihak dalam industri amat penting. Ini bukan tanggungjawab Tourism Malaysia sahaja,” katanya pada sidang media sempena Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Kelantan 2025, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata Tourism Malaysia bersedia menjalin kerjasama dengan semua pemain industri pelancongan termasuk kerajaan negeri, agensi pelancongan, syarikat penerbangan dan lain-lain pihak dalam mempromosi produk pelancongan tempatan.
Dalam masa sama, Manoharan menggesa penggiat industri pelancongan untuk mengambil peluang memohon pelbagai bantuan dan insentif yang ditawarkan kerajaan seperti Geran Sektor Penerbangan dan Charter (GSPC), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Galakan Melancong (Gamelan).
Katanya, Negeri Sembilan dan Kelantan antara negeri yang mencatatkan permohonan geran yang rendah berbanding negeri-negeri lain seperti Selangor, Sabah, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.