Malaysia naik tiga anak tangga, indeks rasuah di ranking ke-54

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 10 FEBRUARI – Malaysia mencatat peningkatan tiga anak tangga dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 apabila berada di kedudukan ke-54 berbanding ke-57 pada tahun 2024.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan skor CPI kepada 52 mata, mencerminkan penilaian terperinci dari pelbagai sumber.
  • Keputusan menunjukkan Malaysia kini lebih kurang rasuah berbanding 182 negara.
  • Inisiatif utama: Akta Tanggungjawab Kewangan dan Fiskal 2023 serta pindaan Akta Audit 1957.
  • TI Malaysia gesa tindakan tegas dan sistematik untuk capai sasaran 25 teratas menjelang 2033.

Skornya turut meningkat kepada 52 mata berbanding 50 mata pada 2023 dan 2024.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Raymon Ram, berkata kedudukan baharu Malaysia paling kurang rasuah daripada 182 negara dinilai oleh badan pemantau antirasuah selepas dua tahun kekal di kedudukan sama.

“Skor ini adalah berdasarkan penilaian terperinci bagi Malaysia yang merangkumi pelbagai sumber, termasuk tinjauan dan data sekunder, yang digabungkan untuk menghasilkan satu indeks komposit.

“Peningkatan ketara turut direkodkan dalam IMD World Competitiveness Yearbook melalui tinjauan pendapat, selain kenaikan skor dalam World Economic Forum Executive Opinion Survey serta PRS Group International Country Risk Guide,” katanya ketika mengumumkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2025 di sini, hari ini.

Tambah beliau, peningkatan skor Indeks CPI tahun ini juga hasil penilaian dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Penilaian itu mengambil kira langkah-langkah dan perancangan yang telah dilaksanakan serta komitmen yang telah diumumkan.

Antara inisiatif utama yang menyumbang kepada peningkatan itu ialah pengenalan Akta Tanggungjawab Kewangan dan Fiskal 2023 yang menggalakkan disiplin fiskal dan ketelusan dalam pengurusan kewangan negara.

Selain itu, pindaan kepada Akta Audit 1957 yang memperluaskan bidang kuasa Ketua Audit Negara ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Tambah beliau, tiga negara paling bersih daripada rasuah dalam CPI 2024 ialah Denmark (89 mata), Finland (88 mata) dan Singapura (84 mata).

Manakala Venezuela (10 mata), Sudan Selatan (9 mata) dan Somalia (9 mata) berada di kedudukan tercorot.

TI Malaysia turut menggesa kerajaan agar bertindak secara tegas dan sistematik bagi memastikan peningkatan yang konsisten serta merealisasikan sasaran kedudukan 25 teratas menjelang tahun 2033.