KAHERAH, 10 November- Malaysia dan Mesir bersetuju memainkan peranan lebih proaktif dan tegas dalam memastikan keganasan dihentikan dan nyawa diselamatkan.
Ia ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan empat mata bersama Presiden Republik Rakyat Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al-Ittihadiya (Heliopolis) di Kaherah, Mesir.
Pertemuan yang bermula pada pukul 11 pagi waktu tempatan itu turut menyentuh isu pengukuhan hubungan strategik kedua-dua negara.
Ia meliputi kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan, minyak sawit, industri halal, pendidikan, pelancongan, kesihatan serta sumber asli dan tenaga boleh baharu.
Dalam pada itu, kedua pemimpin juga menyentuh soal BRICS di mana Malaysia menghargai usaha Mesir dalam menyokong penyertaan negara sebagai rakan kerjasama.
Turut dibincang adalah situasi di Palestin yang mana Malaysia menyanjung usaha Mesir bersama Qatar dan Amerika Syarikat yang bertindak selaku perantara dalam menoktahkan penindasan oleh rejim Zionis Israel.
Datuk Seri Anwar turut menyuarakan pandangan dan situasi yang kian meruncing di Lubnan, yang berkemungkinan mengakibatkan konflik yang lebih meluas di Asia Barat.