fb fb fb fb fb

Bawa masuk rakyat Palestin, Malaysia-Mesir runding dua bulan

Foto FB Khaled Nordin

SUBANG, 16 Ogos- Rundingan selama dua bulan telah diambil bersama kedutaan Mesir bagi membawa rakyat Palestin ke Malaysia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, misi itu dilaksana atas pertimbangan kemanusiaan serta bantuan perubatan kepada rakyat Palestin yang cedera akibat konflik Israel-Hamas.

Menerusinya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengatur gerak dua pesawat A400M bagi membawa 127 pesakit dan waris ke Malaysia untuk dirawat.

"Kesemua mereka ini akan dibawa ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan menggunakan ambulans yang telah disediakan. Hospital ini menyediakan tiga wad untuk menempatkan rakyat Palestin.

"Sebanyak 26 ambulans telah disediakan..semua daripada ATM," katanya ketika ditemui media selepas menyambut ketibaan rakyat Palestin di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini.

Dua buah pesawat pengangkut TUDM itu tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang sekitar pada pukul 2.00 dan 2.15 petang tadi.

Mereka yang dibawa telah melalui proses tapisan bagi memastikan setiap daripada mereka boleh melalui penerbangan jarak jauh.

Antara rawatan yang diberikan termasuk patah dan kehilangan anggota badan terutamanya kaki dan tangan, luka parah di kepala dan kecederaan mata.

Hadir sama, Duta Besar Mesir ke Malaysia, Ragai Nasr dan Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali.

Dalam pada itu, Walid berkata Malaysia menjadi antara negara terawal dari Asia yang menawarkan bantuan merawat penduduk Gaza yang cedera akibat konflik itu.

"Ia (Malaysia) sebagai negara Asia yang pertama menerima warga Palestin dengan lebih 16 jam penerbangan untuk sampai Malaysia. Itu tidak cukup untuk mengucapkan terima kasih Malaysia..terima kasih Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Sementara itu, Ragai Nasr pula berkata kejayaan misi membawa rakyat Palestin ke Malaysia, bukti hubungan erat antara Presiden Mesir dan Perdana Menteri Malaysia.

"Malaysia telah menunjukkan pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan yang dihantar. Apa yang saya nak cakap, inilah kemunculan hubungan yang terbina antara Perdana Menteri Malaysia dengan Presiden Mesir.

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM